17/06/2011

Akraman, ahanan

0 comments
Bismillahirrahmanirrahim

Dalam kehidupan kita di dunia ini, apa yang kita kejar ialah kejayaan. Tak kiralah dari segi apa pun. Belajar, berkerja, bermain dan segalanya. Semua orang nak berjaya. Pelajar, kerani, doktor, cikgu malah pencuri pun nak berjaya dalam hidupnya.

Apabila kita mendapat kejayaan, kita rasa puas. Setelah penat berusaha, kita mendapat ganjaran. Ada yang belanja kawan makan. Ada pula yang sujud menghadap Tuhan. Tak lupa kepada yang bongkak dan riak melupakan Tuhan. Dan ada juga yang berfikir, Tuhan telah berikannya kemuliaan.

Maka adapun manusia, apabila Tuhan mengujinya lalu memuliakannya dan memberikan kesenangan, maka dia berkata "Tuhanku telah memuliakanku".

al-Fajr : 15


Berbeza pula apabila kita tidak menerima apa yang kita hajatkan. Ada yang sedih dan menangis. Ada yang menyalahkan Tuhan. Ada pula yang tetap bersyukur. Dan ada juga yang berfikir, Tuhan telah menghinanya.

Namun apabila Tuhan mengujinya lalu membatasi rezekinya, maka dia berkata, "Tuhanku telah menghinaku".

al-Fajr : 16


Ini adalah pemikiran manusia yang salah. Apabila mendapat kejayaan, difikirnya Allah memuliakannya. Namun, apabila dibatasi rezekinya, difikirnya Allah menghinanya. Padahal, seperti dalam huraian Syed Qutb, kedua-duanya adalah ujian daripada Allah untuk melihat bagaimana hambaNya menerima perkara tersebut.

Bersyukurkah kita? Atau sebaliknya.

Seperti kata mutarabbi saya,

Kegagalan dan kejayaan mungkin dilihat sangat berbeza. Namun keduanya punya misi yang sama. Menilai jiwa hamba yang bersyukur.


"Islah Nafsak, Wad'u Ghairak".






14/06/2011

Jiwa Muthmainnah

0 comments
Bismillahirrahmanirrahim

Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diridhaiNya. Masuklah ke dalam jamaah hamba-hambaKu, dan masuklah ke dalam syurgaKu.

al-Fajr : 27-30


Dalam tafsir fi Zilal, Syed Qutb mengupas tiga ayat ini dengan sungguh indah dan tenang. Setenang seperti jiwa orang mukmin. Kalau kita baca tafsir beliau, sebelum masuk huraian tiga ayat terakhir ni, dipaparkan pemandangan yang menakutkan dan mengerikan di akhirat nanti.

Ngeri, keras, takut, azab dan seram.

Jadi, apabila anda membaca huraian tiga ayat terakhir ini, terasa begitu tenang, lembut, damai dan aman. Sungguh indah huraian yang dibuat oleh Syed Qutb ini.

Dalam huraiannya, golongan jiwa yang tenang ini dipanggil terhadap Tuhannya, yang tenang menempuh jalannya dan tenang terhadap qadar Allah. Juga tenang di waktu senang dan di waktu susah, di waktu lapang dan di waktu sempit, di waktu terhalang dan di waktu mendapatkan pemberian.

Tenang tanpa ragu. Tanpa menyimpang, tanpa tergoncang dan tanpa takut.

Mereka diseru memasuki jemaah hamba-hambaNya, masuk ke dalam syurga di bawah naungan dan rahmatNya.

Namun, persoalannya adakah kita tergolong dalam yaa ayyatuhan-nafsul muthmainnah itu?

"Aslih Nafsak, Wad'u Ghairak".