29/01/2011

Manisnya

Bismillahirrahmanirrahim

Syukur kepada Allah swt kerana dengan rahmatNya, kasih sayangNya kita masih lagi menikmati nikmat islam dan iman. Dua nikmat yang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana nikmat yang lain. Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad saw, ahli keluarga baginda, para sahabat, tabiin, tabi' tabiin dan seluruhnya.

Siapa sangka yang suatu masa dahulu, Islam yang turun di negara Arab telah berkembang sehinggakan hampir seluruh dunia merasai nikmat islam dan iman ini. Cuba kita fikir, betapa besarnya pengorbanan dan usaha yang dilakukan oleh para nabi dan rasul, para sahabat dan seluruhnya demi agama ini. Cuba fikir. Sekejap pun takpe.

Besar kan?

Manakan tidak kalau hasilnya sungguh besar.

Sekarang, cuba fikir pula, betapa banyak pengorbanan dan usaha yang telah kita lakukan untuk Islam?

Kecil kan?

Manakan tidak kalau sekarang pun kita masih lagi bergoyang kaki makan sampai kenyang sambil tidur puas-puas.

Pelik. Sangat pelik kenapa mereka dahulu sungguh bersungguh-sungguh dalam menyampaikan ajaran Islam ini. Tidak pernah kenal erti lelah, penat apatah lagi susah. Mereka tidak pernah bermain-main. Mereka bagaikan si pahlawan di siang hari, si rahib di malam hari.

Bagi saya, ini semua disebabkan mereka merasai kemanisan iman dan islam itu. Lantas, mereka mahu orang lain turut sama merasai seperti apa mereka rasa. Maka, dengan bekalan itu mereka terus ke depan, terus bergerak dan menggegarkan dunia.

Tapi sebaliknya berlaku di zaman ini. Kita tidak merasai kemanisan iman dan islam itu. Lalu, tiada apa yang kita ingin sebarkan. Tiada apa yang kita ingin sampaikan. Kosong. Kosong seperti gelas kaca yang kosong.

Samalah seperti kita mempromosikan kepada kawan kita berkenaan Char Kuew Teow yang sangat lazat, seperti itulah juga sepatutnya kita mempromosikan islam ini.

Tapi apakan daya, kemanisan itu kita tidak kecapi. Tidak nikmati.

Lalu, untuk apa kita berdakwah? Tiada apa-apa. Manisnya tiada. Lazatnya entah ke mana.

"Aslih Nafsak, Wad'u Ghairak".

0 comments: