18/03/2010

Pandai kamu bermain dengan kata-kata ya?

Bismillahirrahmanirrahim

Ramai orang di atas muka bumi pandai berkata-kata. Bukanlah maksud saya pandai bercakap. Tetapi pandai bermain-main dengan hujah untuk membenarkan tindakan dan perilakunya. Majoritinya begitu.

"Ala, ape salahnya usha awek. Dah nama pun kahwin tu sunnah. Islam memang galakkan kita kahwin. Tak usha awek, cane nak kawin beb?", kata Mamat.

"Dol, aku malas r pegi daurah. Nak study r. Study tu penting Dol. Islam nak kita semua jadi pandai. Tak study cane nak pandai Dol", kata Abu.

"Aku main bola ni pon sebab dakwah. Bukannya saja-saja. Kan bagus kita bersenam. Islam pun suruh", kata Ali.

Pernah dengar kan ayat-ayat sebegini?

Itulah manusia. Mereka seringkali bermain-main dengan kata-kata untuk membenarkan tindakan mereka. Apatah lagi menggunakan nama Islam untuk menjadi 'lesen' atas tindak-tanduk mereka. Yang mendengar, akan mudah tertipu dan percaya.

Mari kita singkap kembali sejarah. Bagaimana suatu masa dahulu, Presiden Mesir, Jamal Abdul Nasser juga melakukan perkara yang sama. Menghias-hiasi pemikiran Sosialisnya dengan agama Islam itu sendiri. Natijahnya, ramai rakyat yang tertipu.

Pertindihan tindakan yang sama.

Ya, semua ini berlaku kerana berlakunya pertindihan tindakan yang sama. Namun, tujuannya yang berbeza-beza. Memang Islam menggalakkan kita untuk berkahwin, tapi kerana apa? Semak balik kawan-kawan. Bukan kerana itu dijadikan alasan untuk kita boleh 'usha' awek.

Ya, memang Islam menyuruh kita menjadi Muslim yang pandai. Tapi sejauh mana kebenaran kita untuk belajar demi kerana Islam? Ataupun kerana mengejar kemewahan dunia semata-mata? Ataupun kita sudah tenggelam dengan fikiran materialistik manusia sekarang?

Ya, memang Islam menyuruh kita bersenam. Menjaga kesihatan diri. Tetapi, sekali lagi sejauh mana kebenaran kita bersenam itu demi kerana dakwah? Demi kerana Islam? Semak balik niat kita tu kawan-kawan.

Sudah-sudahlah kita asyik bermain dengan kata-kata. Semak balik niat kita semua. Mungkin anda boleh terlepas di dunia ini, tapi tidak mungkin di akhirat kelak.

Mari kawan-kawan. Perbetulkan niat kita semula. Hanya kerana Allah semata-mata.

"Islah Nafsak, Wad'u Ghairak".