26/02/2010

Maulidur Rasul

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Semoga kita semua berada di dalam kemanisan iman dan islam.

12 Rabiulawal Tahun Gajah, seorang bayi telah dilahirkan oleh pasangan yang telah dipelihara oleh Allah sejak dahulu lagi. Berketurunan mulia dan sangat disayangi oleh ahli keluarganya yang lain. Sehinggakan bapa saudaranya, Abu Lahab yang dimurkai Allah pun sangat menyayanginya. Abu Lahab sanggup membebaskan hambanya, Suwaibah dan melakukan kenduri secara besar-besaran.

Itulah cerita sedikit mengenai kelahiran Rasulullah s.a.w. Hari ini, saya pasti di Malaysia, akan mengadakan sambutan perarakan Maulidur Rasul. Tidak kiralah di peringkat taska, tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, kolej, universiti, daerah, negeri dan kebangsaan. Namun, di bumi UK ini, tiadalah sambutan perarakan Maulidur Rasul ini. Hanya seperti ceramah-ceramah umum diadakan. Mungkin disebabkan perbezaan pendapat mengenai sambutan Maulidur Rasul ini.

Namun, bukan itu yang menjadi perbincangan saya.

Teringat isi perbincangan usrah tadi. Mengenai sunnah-sunnah rasulullah s.a.w. Banyak yang diutarakan oleh Apeng, Kid, Hilmi, Hisham, Salam, Najib, Syahmi dan juga saya. Semoga kita sama-sama dapat menghidupkan sunnah-sunnah Rasulullah s.a.w.

Tetapi, apa sunnah Rasulullah s.a.w yang paling besar yang sering dilupakan oleh kita dan dianggap tidak 'cool' oleh kebanyakan pihak?

Ya. Berdakwah.

Sedar ataupun tidak, kita memang melakukan dakwah dalam kehidupan seharian kita. Tidak ada seorang pun yang tidak berdakwah. Tidak kisah dari budak kecik, kanak-kanak, remaja, adewasa dan orang tua.

Berdakwah ertinya menyeru. Dalam konteks kita sebagai seorang muslim, kita akan menyeru orang ke arah kebaikan dan meninggalkan larangan. Jadi, kita memang melakukan dakwah dalam kehidupan seharian kita kerana kecendurangan kita dalam mengajak orang.

Persoalannya hanya satu.

Sama ada ke arah kebaikan ataupun kejahatan.

Tepuk dada dan tanya iman kita masing-masing. Dalam kehidupan kita selama beberapa belas tahun, ataupun berpuluh tahun ini, berapa banyak kita menyeru orang ke arah kebaikan dan ke arah kejahatan.

Kita nak masuk syurga kan? So, pilihlah pilihan yang tepat.

"Islah Nafsak, Wad'u Ghairak".