19/02/2010

Hati: Analogi ikan masin

Bismillahirrahmanirrahim

"Hati ini boleh dianalogikan seperti ikan masin", kata seorang sahabat.

ikan masin yang digantung.

Semua ahli usrah ternganga mendengar analogi tersebut. Masing-masing cuba memberi kefahaman. Setelah lama kami mencuba, beliau menerangkan apa yang dimaksudkan dengan analogi ikan masin itu.

Ikan masin berasal daripada ikan kan? Itu syarat utama untuk ikan menjadi ikan masin. Yang kedua, ikan itu haruslah mati terlebih dahulu sebelum boleh diproses menjadi ikan masin. Mana ada ikan masin yang hidup kan?

Ok. Jelas syarat itu.

Ikan, ketika dia hidup, adakah isinya masin? Jawapannya tidak. Walaupun persekitarannya adalah masin (ikan di laut, bukan di dalam aquarium), namun isinya tidak masin.

Tapi, selepas dia mati, sesiapa yang ingin membuat ikan masin, akan mengawet ikan tersebut untuk dijadikan ikan masin.

Ok. Jadi apa kena mengenanya dengan hati kita?

Maksudnya, seseorang itu, jikalau hatinya hidup, insyaAllah dia tidak akan terlarut ataupun terpengaruh dengan unsur-unsur yang negatif. Namun, bahayanya adalah ketika hatinya mati. Dia akan senang untuk larut dan terpengaruh dengan perkara-perkara yang tidak baik.

Namun, bagaimana untuk kita memastikan hati kita sentiasa hidup?

Jawapannya banyak dan saya rasa ramai dari kita tahu. Selalu mengingati Allah, berzikir, membaca Al-Quran, bersedekah dan macam-macam lagi. Tinggal lagi hanya kita sahaja untuk melakukannya ataupun tidak.

Tepuk dada, tanyalah iman. Jom sama-sama menghidupkan hati kita.

"Islah Nafsak, Wad'u Ghairak".