12/11/2009

Karat-karat jahiliyyah

Bismillahirrahmanirrahim

Adakah kita sedar masih ada rawathib (karat-karat) jahiliyyah pada diri kita? Ya, bukannya senang untuk kita hilangkan karat tersebut. Tengok saja sebatang paku yang berkarat. Adakah senang untuk kita hilangkan karat tersebut? Yang pentingnya, tidak semudah ABC atau 123.



Namun, ia bukanlah alasan untuk kita tidak berusaha untuk menghilangkan karat-karat tersebut. Jikalau dibiarkan sahaja, makin berkembanglah karat tersebut, makin kotorlah paku itu dan makin rapuhlah paku itu. Akhirnya, ia patah ataupun hancur.

Begitu juga dengan diri kita.

Jikalau kita tidak berusaha membersihkannya, makin teruklah diri kita ini. Makin rapuhlah iman kita. Makin pudarlah aqidah kita. Dan akhirnya, kita bagaikan bangkai yang masih bernyawa. Hanya jasad yang hidup, tapi jiwa dan roh kita sudahpun mati. Naudzubillah min zalik.

Tapi bagaimana nak bersihkan karat-karat tersebut?

Kalau untuk paku, seeloknya kita bersihkan dengan bahan-bahan kimia yang sepatutnya.

Tapi untuk kita? Bagaimana?

Jawapannya cuma satu. Tingkatkan hubungan kita dengan Allah swt. Biar perlahan-lahan. Asalkan kita semua istiqamah dalam melakukannya. Tak kisahlah baca al-quran 5 ayat sehari sekali pun, yang penting, kita sentiasa melakukannya. Tak kisahlah kita solat jemaah di surau sekali je seminggu, yang penting, istiqamah.

InsyaAllah, selepas kita istiqamah dalam melakukan amal ibadat yang sedikit itu, pasti kita akan terasa untuk meningkatkan lagi kualiti dan kuantiti amalan kita tersebut. Hubungan kita dengan Allah swt akan sentiasa dipertingkatkan. Sepanjang proses itulah, karat-karat jahiliyyah dalam diri kita akan dibuang sedikit demi sedikit. InsyaAllah.

Mari kawan-kawan. Kita buang karat dalam badan. Nanti mudah nak lawan syaitan.

"Islah Nafsak, Wad'u Ghairak".