01/09/2009

Kau ingat kau baik?

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah. Terima kasih ya Allah kerana masih memberi aku kesempatan untuk merasai nikmat bulan Ramadhan. Sudah 1/3 Ramadhan berlalu, harapnya amal ibadatku diredhai dan diberkatiMu. Kuatkan aku ya Allah. Kau berilah aku kekuatan untuk aku istiqamah dalam beribadat kepadaMu, amin.

Ya, sedar tidak sedar, 1o hari telah berlalu meninggalkan kita. 10 hari bukanlah masa yang pendek. Tinggal lagi 2/3 Ramadhan untuk kita sama-sama nikmati. Namun, tanyalah pada diri kita semua, apakah ada kemajuan dalam ibadat kita dalam 10 hari yang lepas?

Bagaimana tadarus al-Quran kita?

Bagaimana hafazan kita?

Bagaimana tarawikh kita?

Bagaimana solat kita?

Dan yang paling penting, bagaimana puasa kita?

Tepuk dada, tanyalah iman kita semua. Harapnya, sedikit demi sedikit segala ibadat kita akan bertambah kualitinya dan bertambah kuantitinya. Sama-samalah kita memohon kekuatan dari Allah swt untuk meneruskan amal ibadat kita semua. InsyaAllah.

Saya pelik. Saya geram. Dan saya marah apabila ada segelintir pihak yang niat mereka mungkin baik tapi caranya yang salah dalam menegur dan menilai seseorang remaja atau sesiapa sahaja yang membuat kesalahan. Ya, dulu saya orang yang selalu dihukum sedemikian.

Dulu saya tidak suka pada orang agama. Kenapa? Kerana mereka suka menghukum bukan berdakwah. Mereka terlalu cepat menilai seseorang berdasarkan pemerhatian mereka. Remaja-remaja yang bermasalah seperti kami, dikatakan seperti sampah. Seperti tiada guna kami hidup. Hanya menyusahkan orang dan tidak perlu dilayan.

Itu ketika saya bergelumang dengan jahiliyyah. Bukannya sekarang saya baik putih suci lagi murni, tidak sama sekali. Itu tidak penting. Persoalan yang lebih penting, sampai bila kita nak menghina orang-orang sedemikian?

"Bodoh punya mat rempit. Baik mampos je korang sume ni", kutuk seorang pemuda.

Kenapa kita suka menghukum? Kenapa kita tidak meletakkan diri kita dalam diri mereka? Sepatutnya para dai'e perlu tahu bahawa pemahaman agama yang ada pada anda tidak sama seperti pemahaman agama yang ada pada mereka. Anda fikir mereka faham agama seperti anda semua?

Jauh sama sekali!

Apa faedahnya anda menghukum mereka, menghina mereka, mencaci mereka dan yang paling biasa MENYINDIR mereka dengan kata-kata yang pedas. Wahai para dai'e sekalian, anda fikir anda sahajakah yang mempunyai perasaan? Mereka tidak? Anda memang silap.

Masalah tidak berjaya diselesaikan dengan menghukum, sebaliknya masalah akan berjaya diselesaikan dengan perbincangan dan seterusnya memberi kefahaman yang betul dan tepat mengenai Islam itu sendiri. Islam itu mudah abang akak oi. Janganlah kita yang membuatnya susah.

Ingatlah, hidayah itu milik Allah. Hanya Dia yang berkuasa memberi hidayah kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Kita hanya mampu berusaha. Dan ingatlah, Allah boleh menarik nikmat hidayah itu pada bila-bila masa sahaja. Lupakah kita dengan kisah seorang pelacur yang dikurniakan syurga dan kisah seorang 'abid yang sentiasa beribadat akhirnya dihumban ke neraka?

Jadi, janganlah sewenang-wenangnya mengatakan orang lain jahat dan kita ini baik.

Kau ingat kau baik?!!



"Islah Nafsak, Wad'u Ghairak".

1 comments:

saya suka wikipedia said...

betul...

seek first to understand,then to be understood