15/09/2009

Bola oh bola

Bismillahirrahmanirrahim

Siapa yang tidak minat dengan bola sepak? Kebanyakkan dari kita memang peminat nombor satu dengan sukan ini. Begitu juga dengan saya. Bola sepak sudah menjadi darah daging saya sejak di bangku sekolah rendah lagi. Pelbagai kejohanan sudah saya sertai. Ada yang kalah, ada yang menang. Namun, menang kalah tidak penting bagi saya. Yang penting kepuasan bermain sukan bola sepak ini. Memang tidak dapat dinilai dengan kata-kata.

"Makan bola, minum bola, tidur bola", laung sebuah iklan komersial.

Dulu, hampir tiap-tiap minggu saya ke stadium untuk menonton sukan bola sepak ini. Jauh di sudut hatiku, kadang-kadang terasa cemburu melihat rakan-rakan sepermainan lama telah berjaya menyarung jersi negeri masing-masing dalam saingan Liga Super dan Perdana. Malah ada yang sudah menyarung jersi kebangsaan. Memang hebat.


"Pergh, bestnye diorang. Gile mantap", jerit hati kecilku.

Sedar tidak sedar, bagi sesiapa yang mengikuti perkembangan bola sepak antarabangsa, saingan Liga Juara-Juara Eropah akan bermula pada malam ini. Oh silap. Awal pagi ini. Ya, awal pagi. Biasanya dalam pukul 2-3 pagi. Jangan terkejut, bagi peminat-peminat bola sepak, tiada masalah bagi mereka untuk bangun ataupun 'stay up' semata-mata ingin menonton siaran langsung perlawanan tersebut.

Dulu saya pun begitu!!

Sedar tidak sedar juga, Ramadhan semakin melabuhkan tirainya. Malam lailatulqadar kian menjelang. Hanya orang yang mencarinya sahaja yang dapat keberkatan dan rahmat malam tersebut. Hanya orang yang menghidupkan malam sahaja yang berpeluang bertemu dengan malam yang dikatakan lebih baik dari seribu bulan. Ya, hanya orang yang berjaga kerana Allah swt, bukan kerana ingin menonton bola.

Bukannya salah ingin menonton. Tapi seimbangkanlah. Kalau kita boleh menonton bola sepak sehingga jam 3 pagi, apa salahnya kita sambung dengan bermunajat dan beribadat kepada Allah swt? Apa yang lebih penting? Keputusan bola sepak ataupun keputusan Allah di padang mashar kelak? Tepuk dada, tanyalah iman kita masing-masing.

Nasihat ini untuk diri saya terutamanya. Marilah kita sama-sama berusaha mengubah diri kita ke arah kebaikan. Rebutlah peluang di malam-malam akhir Ramadhan ini untuk mencari keredhaan Allah swt semata-mata. Andai kata kita boleh berjaga malam untuk menonton bola, dan sebaliknya kita tidak dapat berbuat demikian untuk Allah, rugi besarlah kita.

Sama ada kita ingin memilih bola atau Allah, jawablah sendiri.

Anda mampu mengubahnya.






"Islah Nafsak, Wad'u Ghairak".

0 comments: