09/08/2009

Teruskan perjuangan

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Allah swt dengan limpah dan kurniaNya kita masih lagi diberi nikmat iman dan islam. Nikmat yang terbesar dalam kehidupan kita. Nikmat yang menentukan nasib kita di akhirat kelak. Nikmat yang sering dilupakan manusia. Nikmat yang sering diabaikan manusia.

Sepanjang cuti summer kali ini, seperti biasa banyak program motivasi telah diadakan untuk pelajar-pelajar sekolah menengah dan rendah. Syabas diucapkan kepada semua rakan yang telah bersusah payah menganjurkan program-program tersebut. Moga Allah memberkati usaha kalian, insyaAllah.

Namun, teringat saya akan nasihat saudara Faisal (Cha) suatu ketika dahulu.

"Jangan bersemangat separuh jalan je boh. Biasanya mase mude-mude ni semangat berkobar-kobar. Berapi. Bile masuk keje je, terus malah boh", nasihat Cha dalam loghat Terengganunye yang tidak berapa Terengganu.

Ya. Betul katanya itu. Sekarang mungkin ramai yang sedang berkobar-kobar semangatnya untuk melakukan itu, ini dan sebagainya dalam merealisasikan erti hidup pada memberi. Program di sana, di situ, di sini dan di merata-rata. Dari utara ke selatan, dari timur ke barat dan ke seluruh pelusuk tanah air. Minggu ini, minggu depan, bulan ini, bulan depan. Penuh dalam kalendar aktiviti-aktiviti tersebut. Alhamdulillah.

Tetapi apabila saya renungkan balik nasihat saudara Cha itu, ada logiknya. Mungkin kita sekarang bersemangat waja. Tidak kenal erti penat. Sanggup berkorban wang ringgit, masa dan tenaga. Namun, apabila sampai pada satu tahap, kita mungkin berasa penat, merasakan perbuatan kita tersebut sia-sia, tidak bermanfaat dan sebagainya. Ketika itu, kita mula mengundur diri dari perjuangan yang mulia ini. Nau'zubillahiminzalik.

Kenapa boleh jadi sedemikian rupa?

Ya. Niat kita semua. Ketika kita bersusah payah, berpenat lelah, mungkin kita terlupa akan niat kita. Adakah kita lakukan semua ini semata-mata kerana Allah swt ataupun sebab-sebab lain? Adakah kita lakukan semua ini semata-mata ingin mencapai keredhaan Allah swt semata ataupun keredhaan manusia? Adakah kita mengharapkan balasan dan pujian? Betulkanlah niat kita semua. InsyaAllah, kita dapat bertahan lama.

Nasihat ini adalah untuk diri saya sendiri dan semua rakan yang lain. Teruskanlah usaha murni anda itu. Namun, betulkanlah niat kita semua agar kita tidak mudah mengalah. Janganlah kita mengharapkan balasan dan pujian. Janganlah mudah berputus asa. Ingat, Allah tidak memandang pada hasil yang kita hasilkan, namun Allah melihat akan usaha kita semua, insyaAllah.

Teruskan perjuanganmu wahai pemuda!!


"Islah Nafsak, Wad'u Ghairak".

0 comments: