27/06/2009

Kisah Talut dan Jalut

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah. Kita masih lagi diberi 2 nikmat yang terbesar dalam hidup kita semua iaitu nikmat Islam dan Iman. Nikmat yang amat berharga. Nikmat yang menentukan hidup kita di akhirat yang kekal abadi kelak.


Saya pasti ramai mengetahui Kisah Talut dan Jalut. Kisah yang diceritakan dalam Al-Quran iaitu dalam Surah Al-Baqarah ayat 246-251. Kisah ini juga diceritakan semasa Summer Camp UK baru-baru ini.


Kisah ini berkisar selepas zaman Nabi Musa di mana orang Bani Israil telah meminta kepada nabi mereka untuk mengangkat seorang raja untuk mereka. Dalam surah ini, tidak dijelaskan siapakah nabi mereka itu.


"Angkatlah seorang raja untuk kami, niscaya kami berperang di jalan Allah", kata mereka.

"Jangan-jangan jika diwajibkan atasmu berperang, kamu tidak akan berperang juga"
, balas nabi mereka.


"Mengapa kami tidak akan berperang di jalan Allah, sedangkan kami telah diusir dari kampung halaman kami dan dipisahkan dari anak-anak kami"
, jawab mereka.


Namun, ketika perang itu diwajibkan atas mereka, mereka berpaling, kecuali sebahagian kecil dari mereka. Ternyatalah anggapan nabi mereka tersebut.
Kemudian, nabi mereka menyatakan bahawa Allah telah mengangkat Talut menjadi raja mereka.

Keputusan itu telah dibangkang sepenuhnya oleh mereka.


"Bagaimana Talut memperoleh kerajaan atas kami, sedangkan kami lebih berhak atas kerajaan itu daripadanya, dan dia tidak diberi kekayaan yang banyak?"
, soal mereka.


"Allah telah memilihnya menjadi raja kamu dan memberikan kelebihan ilmu dan fizikal. Allah memberikan kerajaan-Nya kepada siapa yang Dia kehendaki dan Allah Mahaluas, MahaMengetahui"
, jawab nabi mereka.


Ketika Talut membawa bala tenteranya untuk menentang tentera Jalut, dia berkata,
"Allah akan menguji kamu dengan sebuah sungai. Maka barang siapa meminum airnya, dia bukanlah pengikutku. Dan barang siapa tidak meminumnya, maka dia adalah pengikutku kecuali menciduk seciduk dengan tangan".

Namun, apakan daya. Nafsu mereka mengatasi segalanya. Ramai dari tentera Talut ingkar arahan tersebut. Gugurlah mereka dari menyertai tentera Talut. Hanya sebilangan kecil dari mereka yang menurut perintah ketua mereka itu.

Setelah itu, mereka meneruskan perjalanan. Semasa Talut dan orang-orang yang beriman bersamanya menyeberangi sungai itu, mereka berkata,


"Kami tidak kuat lagi pada hari ini melawan Jalut dan bala tenteranya".

Namun, bagi mereka yang meyakini bahawa mereka akan menemui Allah pula berkata,


"Betapa banyak kelompok kecil mengalahkan kelompok besar dengan izin Allah. Dan Allah berserta orang-orang yang sabar".

Maka, semakin berkuranglah tentera Talut yang terus berjuang. Mereka berjaya melepasi ujian-ujian Allah. Mereka sangat kuat dan bersemangat. Mereka tidak seperti orang-orang yang luntur iman mereka, yang telah tertapis keluar sebelum sempat berhadapan dengan bala tentera Jalut.


Dan ketika mereka maju melawan Jalut dan tenteranya, mereka berdoa,

"Ya Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami, kukuhkanlah langkah kami dan tolonglah kami menghadapi orang-orang kafir".

Maka dengan izin Allah, mereka berjaya menewaskan Jalut dan bala tenteranya. Walaupun dengan bilangan yang kecil, namun dengan iman yang kuat, semangat yang tidak pernah luntur dan yakinnya akan pertolongan Allah mereka berjaya memenangi peperangan itu.


Begitulah juga dengan kita. Segala ujian-ujian yang datang dalam hidup kita, adalah datang dari Allah untuk menguji kekuatan kita, untuk membentuk diri kita, untuk melatih kita dan untuk menjadikan kita individu muslim yang benar-benar mantap.


Seperti analogi monyet yang diceritakan oleh Ustaz Rahmat di dalam Filem Sang Murabbi,


"Jika angin bertiup kuat, mereka(monyet) akan berpaut dengan kuat pada dahan itu. Namun, jika angin bertiup sepoi-sepoi bahasa, mereka akan dibuai dan terlena. Akhirnya, jatuh ke tanah!"


Sama-samalah kita mengambil iktibar dari kisah ini. Di kesempatan ini juga, ingin saya mengucapkan takziah kepada saudari Wan Syazzawani atas pemergian ayahanda beliau. Semoga ujian ini menguatkan lagi peribadimu dalam menjadi Serikandi Islam.


"Islah Nafsak, Wad'u Ghairak".

2 comments:

Anonymous said...

aku suka analogi monyet tu...

Anonymous said...

Setakat dengar cerita jer tidak mendatangkan apa2 faedah ,mari kita semak sama ada kita ini serupa dengan askar Talut.