04/05/2009

Jom Berubah

Bismillahirrahmanirrahim

"Aku rasa aku nak dekat dengan Allah la," kata seorang teman.

"Bagusla kalau macam tu," balas rakannya.

"Aku rasa dah semakin jauh sangat dengan Allah," hurai temannya tadi.

"InsyaAllah kau boleh punya. Masih belum terlambat lagi," kata rakannya.

Alhamdulillah. Kita masih dikurniakan nikmat iman dan islam sehingga sekarang. Masih teringat kata-kata seorang rakan sewaktu di kolej dahulu. Nikmat ini datang dengan tanggungjawab. Semakin besar nikmat yang diperolehi, semakin besar tanggungjawab yang perlu dipikul.

Perbualan di atas sering kita dengar. Apabila seseorang itu, yang semakin jauh dengan Allah, ia akan mula menyedari kekosongan di dalam jiwa. Ia akan mula mencari apakah yang mampu mengisi kekosongan jiwa tersebut. Itu adalah fitrah manusia. Sejauh mana ia lari pada Allah, kelak ia akan menyedari kesilapan itu dan cuba kembali ke pangkal jalan.

Setelah itu, dia akan mula berubah untuk menjadi diri yang baru. Yang sedar akan perintah Allah. Yang sedar akan larangan Allah. Yang sedar akan tanggungjawabnya sebagai mukmin yang sejati dan sebagainya. Dia akan cuba bersungguh-sungguh untuk berubah.

Namun, ketika dia hendak berubah, tiba-tiba datang dugaan dan cabaran dari sesiapa yang tidak suka melihat akan perubahan dirinya itu. Sudah tentu cubaan yang pertama datangnya dari syaitan. Tetapi, terdapat juga rintangan-rintangan dari pihak keluarga, rakan-rakan dan sebagainya. Mampukah ia melepasi rintangan-rintangan tersebut?

Oleh sebab itulah kita kena selalu berdampingan dengan rakan-rakan yang dapat membantu kita untuk berubah. Naqib atau naqibah usrah sentiasa ada di sisi untuk membantu kita. Kita tidak boleh patah semangat hanya kerana kawan-kawan kita yang dulu sudah meninggalkan kita. Janganlah kita mudah hilang semangat. Itulah ujian yang perlu kita hadapi.

Iman itu menaik dan menurun. Ketika ia sedang naik, Alhamdulillah. Kita kena jaga iman tersebut. Namun, manusia ini sering lalai. Iman mula menurun. Ketika itulah, hendak saja dia melakukan perkara-perkara yang langsung tidak mendatangkan manfaat. Malah mungkin saja melalukan perkara-perkara maksiat. Sebab itulah kita ada group usrah masing-masing. Bertujuan agar iman itu sentiasa ditopup agar tidak berada di paras bahaya. InsyaAllah.

Justeru, ingin saya menasihati diri saya sendiri dan juga rakan-rakan yang lain. Andai kata anda ingin berubah, lakukan sahaja. Tekadkan azam. Usah dengar hasutan sesiapa sahaja. Itu ujian yang perlu dihadapi. Namun yang penting, betulkan niat kita hanya semata-mata kerana Allah. Andai kata kita ingin berubah kerana seseorang, kerana sesuatu, ingatlah perubahan itu mungkin tidak kekal lama.



"Islah Nafsak, Wad'u Ghairak".

2 comments:

Anonymous said...

bile anok usroh lagho, naqib tego.

bile naqib lagho? sape nok tego?
anok usroh ar!

acu tngok sket naqib mung tuh. Lagho semacang jer,,


yang rasa iman sedang turun,
naqib mung.

Aslam said...

naqib lagho, anok usroh pong ikut lagho r..

haha..=p