17/05/2009

Mahukah aku peringatkan kau tentang suatu ganjaran?

Bismillahirrahmanirrahim

Mahukah aku peringatkan kau tentang suatu ganjaran wahai sahabat?

Sudah pasti engkau mahu.Semua manusia suka ganjaran.Itu adalah fitrah.

Tapi sebelum itu,biar aku ceritakan kepada kau tentang suatu kecelakaan.Jika engkau gentar dan kecut,tutuplah warkah ini.Kerana aku tidak ingin menggusarkan hatimu,kiranya engkau belum sanggup mendengarnya.

Setiap satu kelebihan yang ada pada diri kau,pasti kau dibebankan dengan suatu tanggungjawab.Ingatkah kau suatu masa dahulu engkau pelajar paling pintar dalam kelas?Lantas engkau dipilih menjadi ketua kelas.Engkau pelajar paling petah berbicara.Lantas rakan-rakan dan gurumu memaksamu berpidato dan berbahas.Engkau bijak berorganisasi.Lantas orang meminta mu menjadi kepala persatuan.Engkau lincah di padang.Lalu manusia meletakkan harapan kemenangan padamu.Engkau mendapati dirimu sibuk berbanding yang lain,semuanya kerana kelebihan-kelebihan mu itu.


Tapi sedarkah kau cahaya Islam yang berakar dalam kalbumu itu juga suatu kelebihan?Walaupun sekelumit cuma,ianya tetap suatu kelebihan!Engkau sepatutnya hairan,dan bingung,kerna engkau mempunyai suatu kelebihan,tetapi tiada punya tanggungjawab.Engkau tidak sibuk seperti manusia-manusia lain yang punya kelebihan.Malah,engkau begitu lapang menggoyangkan kakimu.Walhal bebanan ilmu di dadamu itu harus engkau curahkan pada insan-insan yang alpa,agar ianya tidak menjadi beban pabila engkau meniti titian sirot-al-mustaqim.


Hai sahabatku.Telitilah surah Al-A'raf ayat 163-165.Biar surah ini mengetuk dan menggegarkan hatimu.Biar tidur malam mu tidak nyenyak.Biar rehatmu sentiasa gusar.Aku lebih gembira kiranya engkau terasa demikian.

"Dan bertanyalah kepada mereka (wahai Muhammad) mengenai (penduduk) bandar yang letaknya di tepi laut, semasa mereka melanggar larangan pada hari Sabtu, ketika datang kepada mereka pada hari Sabtu itu ikan-ikan (yang menjadi cubaan kepada) mereka, yang kelihatan timbul di muka air; sedang pada hari-hari lain, ikan-ikan itu tidak pula datang kepada mereka. Demikianlah kami menguji mereka (dengan cubaan itu) kerana mereka sentiasa berlaku fasik."

"Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: "Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazabkan mereka dengan azab yang amat berat?" Orang-orang (yang memberi nasihat) itu menjawab: "(Nasihat itu ialah) untuk melepaskan diri dari bersalah kepada Tuhan kamu, dan supaya mereka bertaqwa".

"Maka ketika mereka melupakan (tidak menghiraukan) apa yang telah diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang daripada perbuatan jahat itu, dan Kami timpakan orang-orang yang zalim dengan azab seksa yang amat berat, disebabkan mereka berlaku fasik (derhaka)."


Engkau beritakan kepada aku sekarang berapa golongan yang engkau dapat lihat dalam surah ini.


Ada golongan fasik yang melanggar perintah Allah.Ada golongan berpengetahuan yang menasihati.Dan ada golongan yang tidak ambil peduli untuk menasihati golongan yang melakukan kemungkaran,padahal mereka berpengetahuan.


Sekarang kau lihat Ayat 165.Allah hanya menyebut tentang golongan yang menasihati yang diselamatkan.Dan Allah menyebut golongan fasik yang dibinasakan.Kalau kau ketemu akibat untuk golongan yang berpengetahuan tapi tidak menasihati,beritakanlah kepadaku,tentang apa yang Allah perbuat terhadap mereka.


Mereka tidak sama sekali disebut oleh Allah dalam kisah ini!Seolah-olah mereka disisihkan dan dilupakan oleh Allah.


Demikianlah Allah memberi pengajaran kepada manusia yang berfikir.Kau harus ingat,hidayah yang engkau peroleh itu,merupakan perutusan kasih Allah terhadapmu,suatu tanda bahawa Dia peduli tentangmu,dan mahukan kau selamat dunia akhirat.Tapi dia meletakkan syarat yang maha berat untuk kasihnya itu;kau harus menyampaikannya!Kau harus peduli tentang dunia kelilingmu!


Mahukah kau disisihkan Allah?Mahukah kau dilupakannya?Mahukah kau di akhirat kelak,engkau tidak langsung dipandangnya,sedangkan di dunia dulu engkau taat beribadah?Apakah yang lebih buruk daripada seorang hamba yang taat,yang disisihkan Allah?Padahal kepada Dialah tempat engkau kembali.


Memang sukar.Kau bimbang rakan-rakanmu meninggalkanmu,walhal kepada Allah lah tempat kau kembali.Kau bimbang kau dicerca,walhal cercaan Allah lebih dahsyat.Kau bimbang kau dipulau,walhal kau lupa kau takkan pernah keseorangan dengan adanya Allah.Kau terperangkap.Tiada jalan keluar lain melainkan engkau berjuang meredahnya.Tiada senang bagimu dengan adanya kelebihan Islam pada dirimu.Benarlah kata Rasul dunia ini seharusnya ibarat penjara bagi manusia beriman.

Kau dijerat oleh nikmat-nikmat itu.Tambahan pula,kau punya banyak potensi,maka lebih beratlah bebanmu untuk mengambil peduli.Engkau tak seharusnya mengeluh dengan bebanan-bebanan ini,kerana itu juga tanda kasih Allah terhadapmu.Dia memakbulkan doa mu 'ihdina as-sirat al-mustaqim,siratal lazi na an'am ta 'alaihim' sepanjang 17 hari sekali kau berdoa.Alangkah bertuahnya engkau kerana doa engkau dimakbulkan dan dipandang Allah?


Dunia ini memang memenatkan.Engkau berjuang sentiasa.Berjuang melawan kehendak diri,berjuang untuk menegakkan kalimah-Nya dalam diri manusia-manusia lain.Memang memenatkan.Namun kau mulia kerana perjuangan itu.Sunnatullah menjadikan kemuliaan itu hanya pada manusia yang berjuang.Kerana hidup ini ada perjuangan,atas sebab itulah juga derajat kita diangkat melebihi seluruh penghuni langit dan bumi!


Engkau terasa berat ya?


"Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui." At-Taubah:41


Demikianlah seruan Allah kepadamu.Sahutlah seruan ini hai orang pandai.


Engkau penat dengan perjuangan mu?

"Wahai manusia! Sesungguhnya engkau sentiasa berpenat-lelah (menjalankan keadaan hidupmu) dengan sedaya upayamu hinggalah (semasa engkau) kembali kepada Tuhanmu, kemudian engkau tetap menemui balasan apa yang engkau telah usahakan itu (tercatit semuanya)."

"Kemudian sesiapa yang diberi menerima surat amalnya dengan tangan kanannya, -"

"Maka ia akan dihisab dengan cara yang mudah dan ringan,"

"Dan ia akan pergi kepada keluarganya (yang beriman) dengan sukacita." Al-Insyiqaaq:6-9

Allah sendiri menyatakan dunia ini memenatkanmu.Maka jangan kau berasa lemah dalam setiap langkah kakimu,kerana Allah menjanjikan Jannah buatmu!


Sungguh,rehatmu hanyalah pabila engkau melangkahkan kaki ke syurga.Tiap peluh,tiap tohmahan yang engkau terima,tiap berontakan nafsu yang engkau kekang,tiap titis air mata kesakitan dan keperitan yang engkau titiskan,pasti menjadi saksi kesungguhanmu kelak!


Berjuanglah wahai sahabat,dan teruslah thabat.
(pesanan untuk diri yang lemah ini)



sumber dari www.ahmadkhalis.blogspot.com


"Islah Nafsak, Wad'u Ghairak".

3 comments:

bintangtimur said...

salam ya akhi..
bleh ke sye copy mane2 entry yg menarik from dis blog?
utk di kongsi dlm my YG usrah

aslam said...

boleh2..silakan..=)

bintangtimur said...

jzkk!